Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jelajah ANMS Nabawan Perkukuh Kesedaran Kesihatan Masyarakat Pedalaman

By 24 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

NABAWAN, 24 Ogos (MalaysiaAktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) perlu diperjuangkan sebagai landasan penting membina masyarakat sihat fizikal dan mental.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Sri Arthur Joseph Kuruo berkata ia kerana kesihatan merupakan asas kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Arthur ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Jelajah ANMS Peringkat Parlimen Pensiangan di Nabawan, semalam.

“Justeru, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mesti digerakkan bersama di setiap lapisan masyarakat.

 

“Penjagaan kesihatan bukan sekadar bila sakit, sebaliknya ia perlu menjadi budaya hidup seharian. Pemakanan sihat, gaya hidup aktif dan keseimbangan mental adalah pelaburan masa depan untuk diri, keluarga dan juga negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Jelajah ANMS di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan, di sini, Sabtu lepas.

Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) memberi tumpuan kepada pembudayaan gaya hidup sihat demi melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera.

Dalam pada itu , beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana dalam memastikan masyarakat pedalaman tidak ketinggalan menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Arthur melawat reruai pameran sambil diiringi Pegawai Daerah Nabawan, Marshall Anthony (kanan).

“Pembinaan jalan berturap (aspal) yang kini semakin banyak dilaksanakan di kawasan pedalaman, termasuk jalan Sapulut–Pagalungan dan jalan Pensiangan, memberi manfaat besar kepada penduduk. Ia bukan sahaja memudahkan akses ke klinik kesihatan, malah menjamin kelancaran tugasan petugas kesihatan serta mempercepatkan urusan kecemasan,” jelasnya.

 

Menurut Arthur, usaha pembangunan infrastruktur tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan membela kebajikan rakyat pedalaman serta seiring dengan hasrat melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan sejahtera.

Sementara itu, Mustapha Bacho, 39, dari Kampung Murni B, berkata penganjuran Program Jelajah ANMS wajar diteruskan kerana mampu memperkukuh ekosistem kesihatan negara secara inklusif, mampan dan berkesan.

Mustapha menyertai kempen derma darah, salah satu pengisian Program Jelajah ANMS Peringkat Parlimen Pensiangan.

“Kesihatan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya dipikul kerajaan atau pihak tertentu. Program sebegini penting kerana ia menyampaikan maklumat kesihatan secara dekat, mudah difahami dan terus kepada sasaran, khususnya di luar bandar,” ujarnya.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang program, antaranya ‘Fun Walk’ (10,000 langkah), taklimat Konsep Bandar Sihat dan Konsep Minda Sihat, pertandingan melukis banner ANMS, kempen derma darah, pameran serta kaunter perkhidmatan pelbagai agensi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda