
Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)
KUALA PILAH 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Program JIWA Komuniti MADANI @ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 peringkat Gugusan Pilah menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang masing-masing akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos dan di Pulau Pinang pada 16 September ini.

Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan (dua dari kanan) ketika menyampaikan ucapan.
Program di Taman Rekreasi Bukit Pilah, di sini semalam itu disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah (ADUN) Datuk Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim.
Turut hadir ialah warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Pilah, wakil-wakil Komuniti MADANI Pilah dan Taman Bahagia Delima serta penduduk sekitar.
Sementara itu, Adnan ketika menyampaikan ucapannya turut memberi penekanan kepada aspek pembangunan daerah bersempena dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Para peserta tiba di Bukit Pilah.
“Kuala Pilah akan terus mendapat manfaat pembangunan di bawah RMK-13, termasuk prasarana dan jaringan jalan raya, ekonomi desa, sektor kesihatan dan pendidikan.
“Namun begitu, semua ini bukan dapat dilaksanakan sekelip mata kerana projek-projek sebegini perlu melalui pelbagai penilaian kerja dan pengurusan bagi menghasilkan produk yang bernilai. Inilah janji saya bagi memastikan rakyat Kuala Pilah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” ujarnya.
-RI





