
Laporan/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)
MANJUNG, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Telaga Nenas menganjurkan Pertandingan Laman Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Pertandingan tersebut bertujuan menggalakkan kreativiti penduduk dalam menghias laman rumah dengan Jalur Gemilang serta menyemarakkan semangat kecintaan masyarakat terhadap tanah air khususnya generasi muda.

Salleh Mansor (dua dari kiri) semasa penilaian juri bagi pertandingan laman Jalur Gemilang.
Menurut Pengerusi JPKK Kampung Telaga Nenas Mohamad Isa Hussain, penganjuran pertandingan itu mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk malah menyumbang kepada ekonomi penduduk setempat.
“Usaha ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, malah turut menjadi tarikan kepada pengunjung yang menginap di kampung ini.
“Kampung Telaga Nenas juga merupakan lokasi tumpuan kaki pancing yang menginap di kelong, hasil peruntukan Sejati MADANI yang diusahakan oleh JPKK. Secara tidak langsung, ia dapat membantu menambah pendapatan penduduk kampung melalui kehadiran pelancong,” ujarnya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Som Ahmad ketika ditemui.
Penduduk setempat Som Ahmad, 83, berkata penganjuran program sedemikian dapat menarik minat golongan muda kerana sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja diraikan di sekolah, malah turut dihidupkan di peringkat kampung.
Katanya, suasana itu menambahkan keseronokan dan keceriaan dalam kalangan penduduk, sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Peserta pertandingan yang juga baru pulang menetap di sini selepas lama tinggal di Kuala Lumpur, Salleh Mansor, 53, turut tidak ketinggalan berkongsi pengalamannya.
“Saya sertai pertandingan ini buat pertama kali. Saya tertarik kerana suasana kampung yang aman dan permai jauh berbeza dengan kesibukan kota serta memberi peluang untuk bersama-sama masyarakat setempat meraikan Hari Kebangsaan,” katanya.
-RI





