Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Pertandingan Premis Paling Ceria Meriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan Bagan Datuk

By 31 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

RUNGKUP, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Sebanyak 14 agensi kerajaan di daerah Bagan Datuk menyertai Pertandingan Keceriaan Premis Kerajaan Bertemakan Bulan Kebangsaan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk.

Balai Polis Bagan Datuk antara premis yang bersaing dalam pertandingan Premis Paling Ceria.

Menurut Penghulu Mukim Bagan Datuk Megat Muhamad Amin Mohd Azhar, pertandingan tersebut bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme selain memupuk rasa cinta kepada negara dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

“Proses penjurian berlangsung selama dua hari dan pertandingan ini merupakan antara pengisian sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun 2025 bagi daerah ini,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Sementara itu, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bagan Datuk Norizan Bardi, berkata empat kriteria utama dinilai iaitu hiasan premis yang kreatif serta menepati tema, penggunaan bendera dan Jalur Gemilang yang bersesuaian, kebersihan serta kekemasan persekitaran, dan elemen tambahan yang mencerminkan semangat kemerdekaan.

“Proses pemilihan pemenang agak mencabar kerana hampir semua agensi memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menampilkan keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergambar bersama Juri Pertandingan selepas selesai proses penjurian.

Bagi Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi, penyertaan pihaknya turut mendapat sambutan menggalakkan apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergotong-royong menghiasi premis mereka.

“Paling penting, melalui program ini kami ingin menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan anggota APM,” jelasnya.

Semua pemenang pertandingan akan menerima hadiah yang bakal disampaikan oleh Pegawai Daerah Bagan Datuk Nazrul Fazami Mohamad pada 10 September nanti sempena Program Semarak Kemerdekaan peringkat daerah Bagan Datuk.

-RI

Tinggalkan komen anda