
Laporan/foto: Faizal Nazmi
PUTRAJAYA, 31 Ogos (MalaysiaAktif) — Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata data berkenaan diperoleh daripada Perbadanan Putrajaya dengan 14,062 individu pula terlibat menjayakan perbarisan pada sambutan berkenaan.
“Ada yang telah datang berkampung di sini sejak petang semalam dan kita juga telah sediakan lebih banyak tangga kambing untuk kemudahan pengunjung.
“Berbeza dengan sambutan pada tahun sebelumnya, kali ini pengunjung disajikan dengan acara sisipan RIUH Merdeka yang akan berakhir 6 petang nanti,” katanya kepada media selepas selesai sambutan Hari Kebangsaan ke-68 itu, di sini hari ini.
Fahmi seterusnya melahirkan rasa bangga kerana semua perancangan pada sambutan yang bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni itu berjalan lancar seperti yang dirancang.
Fahmi berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memuji 2,000 pelajar sekolah menengah yang menyajikan persembahan human graphic yang memukau pada sambutan berkenaan.
“PMX (Perdana Menteri) telah santuni mereka yang telah berlatih lebih dua bulan dan beliau menitipkan pesan bahawa ia adalah persembahan terbaik yang pernah disaksikannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa perkara dibangkitkan pengamal media terutamanya jurufoto berkait posisi mereka pada sambutan tersebut dan Kementerian Komunikasi selaku penganjur katanya akan meneliti perkara tersebut pada sambutan Hari Kebangsaan akan datang.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik terutamanya perbarisan oleh 81 kontinjen, pertunjukkan aset udara dan kemunculan biduanita negara yang menyanyikan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
-FN





