
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI di Watt Titi Akar mendapat sambutan hangat kerana menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kenaikan kos sara hidup.

Jualan Rahmah MADANI mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Siam.
Penganjuran Jualan Rahmah MADANI melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan tempatan sentiasa menjadi pilihan rakyat bagi mendapat manfaat secara langsung.
Penyelaras Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) daerah Pendang, Norsyam Abdullah berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban, khususnya golongan B40 dan M40.
“Melalui Jualan Rahmah MADANI, rakyat boleh mendapatkan barangan asas dengan penjimatan sehingga 30 peratus sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya.

Para pengunjung membuat pilihan barangan yang ditawarkan dengan potongan harga sehingga 30 peratus.
Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Tok Set yang juga penganjur program, Boon Rit Din Kran melahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan program itu yang menurutnya dapat membantu mereka berjimat cermat.
“Saya bersyukur dengan adanya jualan ini, sekurang-kurangnya kami dapat membeli barang dapur pada harga yang lebih murah,” katanya.
Penduduk setempat berharap penganjuran program itu dapat dilaksanakan secara berkala di pelbagai lokasi terutamanya kawasan pedalaman agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua.
-RI





