
Laporan/foto: Lyana Saad/Syuhada Yasin (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 anjuran Komuniti MADANI Jalan Langgar – Jalan Teluk Wanjah berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik.
Antara acara yang menceriakan suasana termasuk nyanyian lagu Jalur Gemilang, perarakan mengelilingi kawasan Wellness Hub, sukaneka (lontaran kasih, musang berjanggut), pertandingan karaoke, deklamasi sajak serta cabutan bertuah.

Mohd Zukri ketika merasmikan program.
Program bersama Kelab Kebajikan Warga Emas Kota Setar dengan kerjasama Wellness Hub Alor Setar itu dirasmikan Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar Mohd Zukri Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa warga emas juga berperanan menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan kekal aktif, bersemangat serta turut mengeratkan hubungan antara masyarakat, komuniti dan jabatan kerajaan.
Penyelaras Komuniti MADANI Jalan Langgar – Jalan Teluk Wanjah Lyana Athirah Mohd Saad pula memberi penerangan ringkas mengenai etika penggunaan bendera dan nyanyian lagu Negaraku dengan betul sebagai tanda penghormatan kepada negara.

Sesi bergambar bersama warga emas, ahli komuniti dan petugas
Sementara itu, ahli Kelab Kebajikan Warga Emas Kota Setar Jamilah Osman, 68, berkata beliau gembira kerana program sedemikian memberi ruang buat warga emas berkumpul, beraktiviti dan menyemai semangat kemerdekaan.
“Walaupun usia semakin meningkat, kami tetap mahu bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan. Program ini buat kami rasa dihargai dan lebih bersemangat,” katanya.
-RI





