Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kampung Tringgus Rabak Rotan Teruskan Tradisi Tahunan Kibarkan Jalur Gemilang Sempena HKHM

By 22 Ogos 2025Ogos 24th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)

BAU, 22 Ogos (MalaysiaAktif) – Tradisi pemasangan Jalur Gemilang di Kampung Tringgus Rabak Rotan, Kampung Tringgus Bong, Kampung Tringgus Matan Nguan dan Kampung Pangkalan Tebang, Daerah Bau, kembali diteruskan tahun ini melalui Program JIWA@Komuniti MADANI sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Sudirman dalam ucapannya menekankan perlunya menyahut seruan Kempen 1R1JG.

Kali ini program tersebut diadakan di Kampung Kampung Tringgus Rabak Rotan dan disertai aktif secara gotong-royong seawal jam 8 pagi membabitkan komuniti dari tiga kampung berkenaan.

“Amalan ini sudah menjadi tradisi setiap tahun menjelang HKHM dan kali ini kami teruskan menyahut seruan kempen Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG),” kata Timbalan Ketua Komuniti MADANI Kampung Tringgus Rabak Rotan Sudirman Mantari dalam ucapannya di sini, semalam.

Katanya pemasangan bendera di hampir setiap pelusuk kampung bukan sahaja memeriahkan suasana HKHM yang bakal menjelang tiba tetapi juga menerbitkan rasa bangga kepada semua yang terlibat.

Sudirman (empat kiri) dan Sumardi (tengah) bersama kanak-kanak Tabika Kemas Tringgus semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang.

“Semangat berkobar-kobar dapat menunjukkan bagaimana kami di sini amat cintakan tanah air ini dan semua yang dilakukan juga bertujuan memupuk semangat sama kepada anak-anak kami, selain memperkukuhkan perpaduan, semangat kekeluargaan dan kejiranan komuniti ini,” kata Sudirman lagi.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Bau bersama Komuniti MADANI Kampung Tringgus Rabak Rotan dan Tabika KEMAS Tringgus kali ini merupakan program keempat dilaksanakan di daerah Bau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda