Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kelab Malaysiaku Platform Bina Kesedaran Demokrasi Belia

By 28 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/ Mohd Azowan (Sarawak)

SRI AMAN, 28 Ogos (MalaysiaAktif)  – Kelab Malaysiaku di sekolah bukan sekadar ruang aktiviti kokurikulum tetapi menjadi wadah penting dalam membentuk jati diri serta kesedaran awal tentang peranan belia dalam sistem demokrasi negara.

Pelajar SMK Sri Aman tekun mendengar ceramah Undi18 sempena Program Jiwa MADANI@Kelab Malaysiaku.

Program Jiwa MADANI@Kelab Malaysiaku yang berlangsung di SMK Sri Aman semalam, disertai 62 ahli kelab dengan pengisian yang memberi penekanan kepada semangat cintakan negara dan kefahaman mengenai Undi18.

Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang dalam ceramah Undi18 menekankan kepentingan generasi muda memahami hak mengundi yang kini dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Undi18 bukan sekadar hak, tetapi amanah yang mesti digalas dengan ilmu, integriti dan kesedaran.

“Sehubungan itu, generasi muda harus celik demokrasi, bijak menilai maklumat dan membuat pilihan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Penolong Kanan Kokurikulum Abdul Rahim Nawawi dalam ucapan perasmiannya menegaskan nilai patriotisme perlu disemai sejak di bangku sekolah agar pelajar bukan sahaja bersemangat waja malah mempunyai kesedaran mendalam terhadap tanggungjawab sebagai warganegara.

“Semangat cintakan tanah air bukan hanya sekadar slogan tetapi ia juga mesti diterjemahkan melalui sikap, disiplin dan keinginan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara sekali gus sebagai teras yang menjadikan belia pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia kepada peserta program.

Melalui program sedemikian, Kelab Malaysiaku berperanan sebagai jambatan antara pelajar dengan nilai kenegaraan, sekali gus melahirkan generasi muda yang patriotik, berjiwa MADANI dan bersedia menyahut cabaran masa depan sebagai pengundi muda yang bertanggungjawab.

Hadir sama Penolong Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Jessica Gilbert Bunsu, Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Sri Aman Nuraini Mohd Razakafli, Sharifah Izzati Farzana Wan Azman dan Senorita Japan serta Penyelaras Kelab Malaysiaku Iswandi Kassim.

-RJ-

Tinggalkan komen anda