
Laporan/foto: Noor Aini/ Siti Nur Balqis
KANGAR, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – “Kenal di online belum tentu kenal di dunia sebenar”.
Ungkapan ini menjadi peringatan utama kepada seramai 995 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis dalam taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Perlis, di Dewan Terbuka sekolah tersebut, di sini pagi tadi.

Hampir 1,000 pelajar SMK Perlis hadir mendengar taklimat oleh MCMC Perlis.
Taklimat disampaikan Penolong Pengarah MCMC Negeri Perlis Nurul Elani Rashid dengan tumpuan kepada isu keselamatan digital serta langkah bijak menggunakan Internet.
Menurut Nurul Elani, generasi muda kini berdepan pelbagai cabaran dalam dunia maya termasuk penyamaran identiti, buli siber, penyebaran maklumat palsu dan risiko eksploitasi digital.
“Justeru, pelajar sekolah menengah perlu dibekalkan dengan pengetahuan serta kemahiran untuk melindungi diri ketika berinteraksi di alam siber.
“Internet ialah ruang yang luas dan bermanfaat, namun tanpa kawalan dan kesedaran, ia boleh membawa mudarat. Pelajar perlu ingat bahawa setiap perkongsian meninggalkan jejak digital yang kekal,” jelasnya.
Menurut pelajar Tingkatan Satu Nurain Azzahra Azrul Azad, beliau sedar ramai remaja seusianya yang mudah percaya dengan orang yang dikenali di media sosial.
“Taklimat ini mengingatkan bahawa kita perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat peribadi,” katanya.
Wan Nur Zahra, 13, pula berkata melalui taklimat KIS beliau belajar bahawa tidak semua yang dilihat di internet adalah benar.

Kuiz turut diadakan oleh Penyelaras Kelab Malaysiaku.
“Selepas ini, saya akan lebih cermat dalam memilih kandungan dan tidak sewenang-wenangnya menekan pautan yang mencurigakan,” katanya.
KIS merupakan sebahagian daripada pengisian program JIWA @Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis dengan kerjasama MCMC Negeri Perlis dalam usaha berterusan mendidik masyarakat khususnya golongan pelajar mengenai kepentingan literasi digital, etika dalam talian dan keselamatan siber sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-RI





