
Laporan/ foto : Boniface Watt Su/Ignatius Golen Sugai (Sarawak)
PAKAN, 27 OGOS (MalaysiaAktif) – Ahli Komuniti MADANI di daerah Pakan digesa lebih proaktif menyebarkan semangat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau rumah panjang masing-masing sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 tanpa mengira latar belakang, usia dan generasi.

Masyarakat Rumah Janang seperti rakyat Malaysia yang lain turut sama menghormati Jalur Gemilang terutamanya sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan.
Peranan generasi muda bersama golongan peringkat usia lain dituntut untuk turut serta melalui program Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terutamanya berkaitan HKHM dan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang seperti yang disarankan kerajaan.
Program HKHM yang diadakan setiap tahun juga amat dinantikan ahli Komuniti MADANI di Pakan kerana menjadi platform membentuk nilai murni melalui ikatan silaturahim yang terjalin antara semua pihak setiap kali program berlangsung.
“Kami menyambut baik usaha JAPEN menerapkan semangat patriotisme dan kami amat mengalukan kerjasama erat dalam usaha kita bersama menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan setiap tahun,” Ketua Komuniti MADANI Rumah Janang, Sungai Wong Blun Ngtoy.
Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya Program JIWA@Komuniti MADANI HKHM 2025 di sini, semalam.

Blun selaku Pengerusi Komuniti MADANI Rumah Janang, Sungai Wong menyampaikan ucapan aluan.
Katanya, program Kibar Jalur Gemilang jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati mengibarkan lambang kebanggaan negara itu yang bukan sekadar sehelai bendera tetapi membawa makna yang cukup besar membabitkan maruah dan kedaulatan negara.
Ahli Komuniti MADANI Rumah Rinya dan Komuniti MADANI Rumah Entengan turut serta pada program tersebut sebagai tanda solidariti sesama Komuniti MADANI di kawasan Dewan Undangan Negeri Pakan.
-RJ-





