
Laporan/foto: Muhammad Ikhmal Rauff Ghazali/Norfazila Razali
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Kira-kira 80 buah kenderaan mengambil bahagian dalam Program Konvoi Merdeka Parlimen Kepong yang bermula di Dewan Komuniti Jinjang Utara dan melalui beberapa kawasan di sekitar Parlimen Kepong.

Lim Lip Eng ketika perasmian program.
Program yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk sekitar Kepong yang turun beramai-ramai membawa kenderaan mereka sambil mengibarkan Jalur Gemilang tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Program hari ini diadakan untuk mengingatkan semua berkenaan makna hari merdeka. Saya mengharapkan dengan adanya program sebegini seharusnya dapat merapatkan lagi hubungan sesama kita dan tidak sepatutnya berlaku perpecahan kaum di Malaysia.
“Program ini perlu dijadikan aktiviti tahunan kerana ia pastinya mendapat sambutan yang sangat baik dari pelbagai lapisan masyarakat,” kata Lim ketika merasmikan program, di sini semalam.

Edaran bahan penerbitan dan Jalur Gemilang oleh petugas Pejabat Penerangan Daerah Kepong/Batu.
Sementara itu, salah seorang peserta konvoi dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, Ahmad Ismail Abdullah, 42, berterima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang masyarakat bersama-sama menghayati bulan kemerdekaan dengan aktiviti santai dan bermakna buat warga Kepong.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi dengan skala yang lebih besar memandangkan ia melibatkan hari kebangsaan,” katanya.
-RI





