Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

“Kulit Berbeza, Jiwa Sama” – Affan Bawa Budaya dan Muzik Bersatu dalam Lagu Tema HKHM 2025

By 7 Ogos 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Faizal Nazmi/JAPEN

PUTRAJAYA, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – “Apabila saya tulis lirik, saya membayangkan masa kecil-kecil main bola dengan kawan-kawan pelbagai kaum pada waktu petang. Memang ada gaduh, tumbuk dan sebagainya, tapi selepas itu kami okey dan bergaul semula seperti biasa,” kata Affan Mazlan.

Affan, 25, merupakan penulis lirik dan komposer lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertajuk Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Kata pensyarah muda di sebuah universiti swasta dalam bidang produksi audio itu, momen manisnya sewaktu kecil bersama rakan-rakan menjadi antara suntikan jiwa lagu berkenaan terutama pada baris “Satu jiwa, tak kira apa warna…Takkan ada yang membezakan kita”.

“Kulit kita mungkin berlainan warna. Tetapi, dalam hati dan jiwa kita tetap sama, kita rakyat Malaysia,” katanya pada temu bual khas bersama media di ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di sini, hari ini.

Mesej yang ingin dibawakan Affan juga mudah iaitu muzik menjadi jambatan perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia terutama ketika negara ini bakal menjengah usia ke-68 tahun tidak lama lagi.

Elemen itu juga sekali gus membawa kelainan lagu tema HKHM tahun ini yang kini semakin rancak berkumandang di corong radio, skrin televisyen dan media sosial, berbanding dengan lagu tema pada sambutan dua tahun sebelumnya yang juga hasil ciptaan beliau yang lebih berunsur korporat.

Pencipta dan komposer lagu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni Affan Mazlan ketika temu bual khas di ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia.

Kali ini, bakat muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu tampil berbeza dengan membawa elemen lagu rakyat hasil inspirasi lagu Kurik Kundi nyanyian biduanita negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin atau lebih dikenali dengan jolokan Tokti yang juga menjadi pelantun suara lagu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Katanya, lagu berunsur rakyat juga mungkin kali terakhir didengari rakyat ketika zaman komposer terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah masih ada, namun hakikatnya karya-karya malar segar itu masih terus didendangkan lapisan masyarakat sehingga kini tanpa mengira usia.

“Saya cuba highlightkan tema perpaduan dalam lagu ini. Sebab itu, saya berusaha masukkan elemen instrumen pelbagai kaum kerana bagi saya, apabila dimasukkan elemen itu dan didengari ramai, ia  secara tidak langsung buat kita lebih terbuka dengan budaya kaum lain.

“Saya percaya penting untuk rakyat Malaysia tahu budaya kaum-kaum lain. Ada banyak aspek untuk kita kenal sesuatu kaum, tapi medium saya adalah muzik. Jadi, saya harapkan bila orang dengar, bila mereka tahu budaya sesuatu kaum, mereka akan belajar dan itu akan semai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai proses penghasilan karya patriotik yang menyentuh jiwa dan menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil itu, Affan berkata dirinya mengambil kira-kira dua bulan sebelum menyiapkan keseluruhan lagu tersebut, bermula daripada penciptaan melodi, penulisan lirik hinggalah kepada susunan muzik.

Penggambaran segmen ‘Kita Kongsi’ bersama pencipta dan komposer lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Affan Mazlan.

“Paling sukar adalah liriknya kerana bila kita buat lagu korporat dan kempen, terlampau formal pun kurang sedap. Kalau terlampau santai pun mesej mungkin tidak sampai. Jadi, saya kena cari garis tengah untuk hasilkan lagu yang ada semangat patriotik dan mesej kempen, tetapi boleh dinyanyikan orang ramai.

“Bagaimanapun, proses kerja dengan Tokti sangat mudah. Beliau adalah seorang penyanyi yang membuat homework. Beliau datang dengan idea dan komunikasi berlaku secara dua hala. Proses rakaman juga hanya ambil masa sejam lebih sahaja, antara paling cepat saya pernah record,” katanya.

Meskipun sangat berpuas hati dengan hasil karya berdurasi kira-kira tiga minit itu, Affan berkata beliau akan sentiasa mencari ruang untuk menambah baik karyanya sekiranya terpilih untuk menciptakan lagu tema HKHM pada tahun-tahun mendatang.

“Saya akan sentiasa belajar apa yang mahu didengari orang ramai dan apa yang mereka harapkan dalam lagu kemerdekaan. Sebab untuk lagu ini pun, saya belajar situasi yang mana cikgu-cikgu di sekolah suka akan lagu yang muridnya boleh nyanyikan, dan para penari boleh tarikan untuk persembahan.

“Jadi lagu ini, saya cipta dengan bahagian yang singable (boleh dinyanyikan) dan ada juga elemen laju, rancak dan lively supaya boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Saya buat sesuatu yang ada unsur rakyat, ada unsur tradisional dan dilengkapi muzik moden supaya semua boleh enjoy dan nyanyikan bersama-sama,” katanya.

Lagu tema HKHM 2025 itu diperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar pada 27 Julai lepas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda