
KUCHING, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Bangunan Arkib Negeri Sarawak yang kini dalam pembinaan bakal menjadi pusat penyimpanan dokumen bersejarah penting dan salinan dokumen yang diperakui dari United Kingdom terutamanya yang diperolehi melalui kerjasama dengan Muzium London dan pihak berkuasa British yang lain.

Premier Sarawak (dua kanan, depan) meninjau perkembangan luaran projek bangunan arkib yang baharu.
Bangunan arkib itu juga akan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan Sarawak untuk generasi akan datang dan akan menyokong akses jangka panjang kepada rekod-rekod berharga, meningkatkan kesedaran sejarah, serta menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembelajaran.
“Ini termasuk bukan sahaja rekod berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi juga surat-menyurat dan perjanjian yang bertarikh kembali ke era colonial dan prakemerdekaan Sarawak,” Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengulas demikian selepas melawat tapak pembinaan Bangunan Arkib Negeri berhampiran Pustaka Negeri di sini, semalam.
Sementara itu, Pustakawan Pustaka Negeri Nor Asemah Drahman berharap bangunan arkib baharu itu nanti akan menjadi pusat rujukan utama bagi pemeliharaan dan pengurusan rekod sejarah Sarawak dan melalui kemudahan moden seperti Automated Storage and Retrieval System (ASRS), proses penyimpanan dan pengambilan bahan arkib akan menjadi lebih cekap dan sistematik.

Nor Asmah yang bertugas sebagai Pustakawan Pustaka Negeri.
“Kemudahan ini juga akan menjadi platform untuk penglibatan komuniti, penghargaan budaya dan pembangunan pendidikan dan melalui infrastruktur yang dipertingkatkan dan penggunaan sistem teknologi seperti ASRS, bangunan ini memastikan penyimpanan dan pengambilan arkib yang lebih cekap yang turut menggalakkan kerjasama di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan kemahiran dan peluang untuk komuniti,” ujar Nor Asemah.
-RJ-





