
Laporan/ foto : Abang Hairmann Abg Fauzi (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 26 Ogos (Malaysia Aktif) – Pejabat Wisma Persekutuan Kota Samarahan mengadakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Anggota bomba melaksanakan operasi pengungsian bangunan.
Latihan tersebut bertujuan melatih Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) sebagai ‘first responder’ dan kakitangan awam di Wisma Persekutuan Kota Samarahan berkaitan tindakan segera dan laluan keluar yang betul sekiranya berlaku kebakaran.
Menurut Pegawai Bomba Kanan 1, BBP Kota Samarahan Lydia Mohammad Sarkawi, kekerapan latihan kebakaran seperti ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan kakitangan kerajaan didedahkan dengan prosedur keselamatan yang tepat dan terkini.
“Semua kakitangan agensi kerajaan perlu diberi pendedahan dengan lebih giat untuk menghadapi kebakaran selain prosedur yang selamat ketika menghadapi situasi kecemasan kebakaran.
“Adalah baik sekiranya setiap agensi dapat mengadakan ‘fire drill’ sekurang-kurangnya sekali setahun agar kita sentiasa peka dan bersedia dalam apa jua situasi,” katanya selepas tamat operasi pengungsian bangunan.

Salah seorang kakitangan awam mempraktikkan cara memadam api dengan betul menggunakan alat pemadam api Dry Powder.
Situasi latihan bermula apabila insiden kebakaran dicetuskan dengan kepulan asap di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara dan disusuli bunyi sistem penggera keselamatan.
Sejurus ketibaan Lydia dan pasukannya bersama aset logistik sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu kenderaan utiliti jenis Toyata Hiace tiba di Wisma Persekutuan Kota Samarahan, mereka bertindak pantas melakukan pengungsian bangunan dan operasi menyelamat.
Operasi pengungsian bangunan tamat pada jam 10 pagi melibatkan 60 kakitangan kerajaan dari 11 agensi kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan Kota Samarahan.
-RJ-





