
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facabook Fazli Salleh (Johor)
JOHOR BAHRU, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Johor melakar sejarah baharu dalam sektor pengangkutan rel apabila Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan selatan akan mula beroperasi secara rasmi 30 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pelancaran rasmi disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang turut berkenan memandu sendiri tren ETS3 pertama dari KL Sentral ke Stesen Kluang, 23 Ogos lalu.
“Mulai 30 Ogos, rakyat Johor akan dapat menikmati perjalanan lebih pantas dan selesa dengan tempoh sekitar tiga jam setengah dari KL Sentral ke Kluang. Laluan ini turut melibatkan hentian di beberapa stesen utama termasuk Segamat, Labis, Bekok dan Paloh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, pembukaan laluan Gemas–Kluang itu sebahagian daripada perancangan lebih besar menghubungkan rangkaian ETS sehingga ke Johor Bahru menjelang November ini.
“Seiring pelancaran itu, tempahan tiket ETS3 telah mula dibuka melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), laman web rasmi KTMB serta kios tiket di stesen terpilih.
“Sebagai tarikan tambahan, Laman Rel Mahkota, sebuah taman linear sepanjang 2.8 kilometer di bawah jajaran landasan baharu di Kluang, juga telah dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 6 pagi hingga 9 malam,” katanya.
Menurutnya lagi, kehadiran ruang awam itu bukan sahaja memperindah kawasan sekitar, malah memberi nilai tambah sosial dan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Kerajaan Johor amat berbangga dengan kejayaan ini kerana selain meningkatkan mobiliti rakyat, ETS3 turut diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pelancongan negeri,” katanya.
Mohamad Fazli menegaskan keseluruhan projek berkenaan kekal mengikut jadual, seterusnya memperkukuh pembangunan infrastruktur pengangkutan Johor menuju tahun 2026.
-RI





