Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lebih 300 Sertai Fun Walk Jalur Gemilang sempena Pra Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Perak

By 4 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohammad Ezwandi (Perak)

TELUK INTAN, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Lebih 300 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur menyertai Fun Walk Jalur Gemilang sempena Majlis Pra Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak di Dataran Menara Condong, di sini kelmarin.

Sebelum berjalan santai, Norliyana (berbaju biru) mengikuti sesi senamrobik yang dibawakan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah itu merupakan inisiatif Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak Md Nor Ramli Ismail berkata program itu adalah satu inisiatif baik untuk masyarakat setempat turun padang berjalan kaki secara santai bersama keluarga sambil mengutip sampah di sepanjang laluan dan kawasan sekitarnya.

“Selain dapat menjaga kesihatan diri, aktiviti sebegini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa sama berupaya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, di sini.

Md Nor Ramli dan isteri gembira dapat menyertai program tersebut

Sementara itu, Norliyana Abdul Halim, 40, salah seorang peserta dari Pulau Pinang berkongsi keterujaannya dapat menyertai fun walk sambil menghayati pemandangan sekitar pekan Teluk Intan.

“Aktiviti ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan di samping memupuk kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar agar kawasan setempat sentiasa bersih sekaligus boleh mengelakkan persepsi negatif daripada pengunjung,” katanya.

Rata-rata peserta Fun Walk menyahut saranan penganjur dengan berpakaian mengikut tema Jalur Gemilang yang ceria dan berwarna-warni.

-AA-

Tinggalkan komen anda