
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Dengan 60 peratus keluasan hutan bakau di Malaysia terletak di Sabah, negeri ini menyimpan potensi besar sebagai pengeluar produk hiliran bernilai tinggi daripada pokok nipah.
Digelar sebagai pokok seribu guna oleh masyarakat tempatan, pokok nipah mampu menghasilkan pelbagai produk melalui proses yang berbeza antaranya cuka, garam, gula nipah, atap rumah, jus, kordial sehingga buah nipah yang boleh dimakan.
Berkongsi pengalaman 10 tahun mengusahakan produk berasaskan pokok nipah, pengusahanya Radziah Matarsad, 43, berkata hampir 80 peratus pelanggannya tidak pernah tahu rasa atau khasiat daripada buah nipah.

Radziah menunjukkan produk kordial buah nipah di samping buah nipah yang sebenar di reruai gerai makanannya di HPPNK 2025.
“Sebenarnya nipah ini dia ada banyak khasiat kalau nira nipah ini kita perolehi dari buah nipah boleh mengurangkan risiko diabetes dan sudah dibuktikan dalam beberapa kajian dalam dan luar negara.
“Untuk buah nipah ini selain jusnya dapat mengurangkan dahaga, buah nipah juga boleh bantu kita tambah tenaga dan khasiatnya lebih kurang kelapa tetapi aromanya lebih kuat dari kelapa juga boleh menghasilkan nira, cuka juga kordial buah nipah.”

Pelanggan yang mengunjungi gerai Radziah untuk mencuba sendiri rasa jus buah nipah yang dibuat sendiri tanpa campuran gula, bahan perasa atau pewarna tiruan.
“Setiap kali saya berniaga saya mesti bawa buah nipah untuk menarik perhatian pelanggan sebab majoriti saya boleh katakan, 80 peratus daripada pelanggan saya tidak kenal dan tidak tahu buah nipah ini boleh dimakan,” katanya semasa ditemui di gerai Jus Nipah sempena Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di sini pada Ahad.
Selain Radziah, Pengurus Leaves Trading Sdn Bhd, Clarence Jee, 28, juga merupakan antara syarikat makanan dan minuman (F&B) yang telah lama mengembangkan produk minuman berasaskan gula nipah di Sarawak secara komersil.
Jelasnya, pasaran produk berasaskan gula nipah atau lebih dikenali rakyat Sarawak sebagai gula apong itu sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam industri minuman serta industri kecil dan sederhana (IKS).
“Syarikat kami antara pelopor kepada ‘three layer milk tea” di Sarawak menggunakan kordial gula apong dan sejak itu gula apong mula terkenal di seluruh negeri dan dikembangkan kepada pelbagai produk lain seperti aiskrim gula apong yang menjadi nilai tambah dalam gastronomi pelancongan di Sarawak.

Clarence menunjukkan sirap gula apong dan pandan yang dihasilkan syarikat Leaves Trading Sdn Bhd sebagai bahan utama minuman istimewa ‘three layer milk tea gula apong’.
“HPPNK ini sangat membantu memberi peluang kepada syarikat kami daripada Sarawak untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan baharu seperti di Sabah ini, ada beberapa vendor yang suka akan gula apong kami dan pasaran Sabah ini sangat berpotensi dan luas,” katanya.
-RJ-





