
Laporan/foto: Rahimah Rafiai/Yang Azman Mohd Othman
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Ribuan umat Islam berhimpun dalam penuh energi bersemangat sempena Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sebagai simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan dan penderitaan yang masih dilalui oleh rakyat Palestin di Gaza, kelmarin.

Syarahan ‘Malaysiaku Bersama Gaza’ oleh Perdana Menteri.
Majlis yang berlangsung di Dataran Merdeka itu dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran sebelum acara selawat beramai-ramai yang dipimpin para asatizah serta kumpulan nasyid tempatan.
Kehadiran masyarakat pelbagai lapisan termasuk pemimpin, aktivis kemanusiaan, mahasiswa, belia dan keluarga menunjukkan keprihatinan tinggi rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan global.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan suara rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
“Malam ini kita berhimpun bukan sahaja untuk bermunajat, tetapi juga sebagai tanda bahawa Malaysia tetap konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin. Selagi mana kezaliman berlaku, selagi itulah Malaysia tidak akan berganjak daripada prinsip keadilan dan kemanusiaan,” tegasnya.

Pelepasan Delegasi Sumid Nusantara untuk Flotilla Gaza.
Selain bacaan selawat, majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah yang mengingatkan hadirin tentang nilai persaudaraan Islam dan tanggungjawab bersama dalam membantu mereka yang dizalimi.
Semangat kebersamaan jelas dirasai apabila hadirin mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin sambil berselawat, menzahirkan mesej perpaduan serta kesatuan hati.
Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza diharap dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak usaha berterusan dalam menyemai kesedaran masyarakat, sekali gus memperkukuh solidariti kemanusiaan rakyat Malaysia bersama Gaza.
-RI





