
Laporan/ foto: Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Seramai 200 peserta terdiri daripada ibu bapa dan pengerusi daripada sembilan Tabika Jabatan Kemajuan MAsyarakat (KEMAS) di kawasan Serembu telah mengikuti Bengkel Keibubapaan di Dewan Suarah Bau, di sini, semalam.

Kehadiran ramai ibu bapa melibatkan 9 buah Tabika KEMAS di kawasan Serembu di Dewan Suarah Bau.
Bengkel berkenaan merupakan salah satu aktiviti KEMAS dalam mewujudkan kesinambungan pendidikan di Tabika dan Taska, melibatkan lapan Tabika KEMAS iaitu Kampung Peninjau Baru, Kampung Tringgus, Kampung Sogo, Kampung Podam, Kampung Gumbang, Kampung Kandis Baru, Kampung Kopit dan Kampung Bijuray.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, dalam ucapan perasmian berkata program tahunan anjuran Unit Prasekolah KEMAS Parlimen Puncak Borneo itu memberi impak positif dengan meningkatkan pengetahuan ibu bapa tentang pendidikan awal kanak-kanak serta penyediaan makanan sihat di rumah.

Miro berucap merasmikan Bengkel Keibubapaan.
“Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan perkembangan anak-anak dan meningkatkan kefahaman peserta tentang peranan dan tanggungjawab ibu bapa termasuk penjaga terhadap anak-anak mereka,” kata Miro lagi.
Miro juga memaklumkan terdapat dua Tabika KEMAS yang baharu di kawasan Serembu iaitu Tabika KEMAS Kampung Bijuray dan Kampung Kopit yang menjadikan jumlah keseluruhan sembilan buah Tabika KEMAS di kawasan tersebut.
-RJ-





