
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa puas hati terhadap persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini.
“Alhamdulillah, ia telah berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik dan pihak urusetia telah memaklumkan lebih 5,000 orang hadir menyaksikan raptai penuh hari ini.
“Tadi, saya solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan dan saya juga telah bertemu dengan beberapa orang pelajar yang menjadi sebahagian daripada pasukan human graphic. Memang mereka bersemangat dan ini pengalaman yang sangat baik untuk mereka. Ini antara yang telah mereka sampaikan kepada saya,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada sidang media mingguan, di sini hari ini sebelum menjemput orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Putrajaya, Ahad ini.
“Di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru Presint 2 di Putrajaya… program Kira Detik Merdeka akan dijalankan sekitar 11.55 minit malam. Itu juga merupakan tapak di mana RIUH Merdeka akan diadakan, iaitu program 30 jam berturut-turut tanpa henti, bermula 12 tengah hari, 30 Ogos (Sabtu) dan akan tamat pada 6 petang, 31 Ogos,” katanya.
Fahmi berkata pelbagai pengisian menanti mereka yang hadir antaranya jualan pelbagai jenis produk termasuk makanan dan minuman, persembahan oleh artis tempatan seperti Zainal Abidin dan Yuna.
Turut dirancang untuk hiburan pengunjung ialah tayangan filem terbuka oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dalam pada itu, Fahmi berkata Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor yang akan disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen.
“Manakala, pada jam 12 tengah hari (Sabtu) akan diadakan program Quran Hour bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur selain program Ambang Merdeka di Dataran Merdeka.
“Insya-Allah, pada 16 September sempena Hari Malaysia pula akan diadakan program Majlis Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi, bertempat di Bertam Resort & Water Park, Kepala Batas, Pulau Pinang dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
-RI





