Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

NADI: Penyampai Maklumat, Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Komuniti Setempat

By 17 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)

PENDANG, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, pantas dan sahih dengan menyampaikan dasar kerajaan, inisiatif pembangunan dan isu semasa kepada seluruh masyarakat melalui pelbagai saluran komunikasi.

Penyebaran maklumat yang berkesan membentuk rakyat celik pengetahuan, berfikiran kritis dan bersatu padu dengan menjadikan maklumat yang benar sebagai asas kepada perpaduan, mengelakkan perpecahan dan mengukuhkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.

Para peserta mengikuti sesi taklimat bersama NADI.

Pengurus NADI Bukit Jenun Nurlila Ibrahim semasa memberi taklimat di sesi lawatan Komuniti MADANI ke NADI Kampung Bukit Raya Dalam semalam, mengalu-alukan masyarakat setempat untuk berkunjung ke NADI bagi menggunakan perkhidmatan yang disediakan seperti kemudahan Internet berkelajuan tinggi, akses komputer, ruang bacaan, pusat rujukan maklumat kerajaan serta penggunaan ruang untuk aktiviti pembelajaran.

“Semua kemudahan ini ditawarkan bagi memperkukuh pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan menggalakkan interaksi positif dalam kalangan komuniti khususnya kepada mereka yang berhasrat menjana pendapatan melalui platform digital.

“Kita sudah melahirkan ramai usahawan NADI yang belajar dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan kemahiran, memasarkan maklumat secara dalam talian serta mengembangkan perniagaan melalui platform digital,” ujarnya.

Salah seorang peserta lawatan, Mohd Izmal Mohd Kamal, 40, memaklumkan bahawa beliau sering berkunjung ke NADI untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“Saya juga sering melihat iklan-iklan berkenaan program yang dijalankan oleh NADI melalui Facebook dan program-program ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai termasuk golongan pelajar, remaja dan dewasa,” ujarnya.

Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan paras gula yang turut disediakan di NADI.

Dalam sesi lawatan tersebut, Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim, berkata inisiatif untuk mengadakan lawatan ke NADI ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh jaringan perpaduan masyarakat, malah memperluas akses rakyat kepada maklumat yang sahih dan peluang pembangunan diri.

“Warga Komuniti MADANI diberi peluang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di NADI bagi melaksanakan pelbagai program termasuk sesi penyebaran maklumat kerajaan, bengkel pembangunan kemahiran dan aktiviti kemasyarakatan serta sambutan peristiwa penting negara seperti Hari Kebangsaan dan sebagainya,” jelasnya.

-RI

Tinggalkan komen anda