
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Pendidikan merupakan jaminan masa depan negara dan generasi akan datang, justeru ia perlu terus diberikan keutamaan dalam setiap aspek pembangunan.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata pendidikan bukan sahaja terbatas di sekolah, malah juga melalui pengajian agama, institusi masyarakat serta pelbagai medium yang membentuk jati diri rakyat.
“Bagi saya, pendidikan ialah jaminan masa depan kita. Sama ada dalam sekolah, masjid, agama ataupun kehidupan seharian, semuanya membina kemajuan. Jika pendidikan kita lemah, maka runtuhlah bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Surau Taman Milenium, di sini pada Sabtu.
Beliau turut menyentuh isu keselamatan pelajar di sekolah serta keperluan menambah baik kemudahan pendidikan.

Lo Su Fui merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Komuniti Madani Taman Milenium, Tawau.
“Banyak sekolah di Sabah usang dan tidak mempunyai kelengkapan asas seperti CCTV. Jika perkara asas ini diberi perhatian, banyak masalah dapat dicegah. Saya tekankan di Parlimen, keutamaan mesti diberikan kepada sekolah kerana segalanya bermula dengan pendidikan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Lo menegaskan bahawa penghayatan terhadap erti kemerdekaan adalah tunjang kepada keamanan, keharmonian dan pembangunan negara.
“Segala yang kita lakukan, daripada ekonomi, sosial hingga politik, akhirnya adalah untuk mempertahankan kemerdekaan. Semangat ini lebih penting daripada sekadar angka kehadiran atau siapa menjadi johan pertandingan.
“Selain itu, setiap perjuangan hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan keharmonian,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyuarakan pandangan agar penggunaan media sosial lebih bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.
“Saya cadangkan supaya akaun media sosial didaftarkan menggunakan kad pengenalan supaya setiap individu bertanggungjawab terhadap kenyataan mereka. Jangan jadikan platform ini untuk memecahbelahkan rakyat,” ujarnya.
Program anjuran Komuniti MADANI Taman Milenium itu dimeriahkan dengan edaran Jalur Gemilang serta pelepasan Konvoi Berbasikal Merdeka yang disertai anak-anak cilik.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Hassan Idrus serta Pengerusi Komuniti Madani Taman Milenium, Hussin Yono.
-RJ-






