Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Komuniti MADANI DUN Bukit Pinang Semarakkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang

By 18 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin (Pokok Sena)

ALOR SETAR, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, ahli Komuniti MADANI DUN Bukit Pinang tampil menyahut inisiatif kerajaan menerusi kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotisme.

Sejak awal bulan ini, Jalur Gemilang mula berkibar megah di hadapan rumah penduduk, premis perniagaan dan kedai-kedai tumpuan di kawasan sekitar DUN Bukit Pinang.

Ketua Komuniti MADANI Bukit Pinang Fazilah Ismail berkata usaha mengibarkan Jalur Gemilang perlu dipupuk dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

“Kempen ini bukan sekadar menambah seri sambutan kemerdekaan, tetapi juga sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pejuang tanah air.

“Saya menyeru agar generasi muda tidak ketinggalan memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing supaya semangat cinta negara dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Hutan Kampung, Othman Hussein, menegaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang seharusnya dihayati dengan lebih mendalam.

“Jalur Gemilang bukan sekadar kain yang dikibarkan. Ia melambangkan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Setiap kali kita melihat bendera berkibar, ia harus menjadi peringatan tentang betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan yang kita kecapi hari ini,” ujarnya.

Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan bagi menggalakkan kibaran Jalur Gemilang oleh setiap rumah sepanjang Ogos.

-RI

Tinggalkan komen anda