
Laporan/foto: Nur Arinnica Arif (Kluang)
KLUANG, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Yayasan Warisan Johor (YWJ) meneruskan usaha mengangkat seni budaya tradisi melalui penganjuran Jelajah Ceritera yang dibawa ke peringkat akar umbi dengan memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar berkata program tersebut merupakan inisiatif penting memartabatkan warisan seni penglipurlara agar terus difahami dan diwarisi oleh generasi baharu.

Murid didedahkan dengan seni penglipurlara yang digabungkan bersama muzik tradisional dalam program Jelajah Ceritera anjuran Yayasan Warisan Johor.
“Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan serta memartabatkan seni warisan pelipurlara.
“Melalui pengisian yang bersifat interaktif, kita dapat menilai sejauh mana pelajar memahami mesej yang cuba disampaikan dengan harapan agar warisan ini terus kekal segar dan diwarisi generasi seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program Jelajah Ceritera Negeri Johor 2025 di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Pegawai Daerah Kluang Azurawati Wahid.
Guru Sekolah Kebangsaan Chamek Nur Amalin Ab Rashid menyifatkan program tersebut sebagai pendedahan baharu dan berharga kepada murid-murid sekolah.

Cikgu Nur Amalin, menyifatkan program tersebut sebagai pendedahan baharu dan berharga kepada murid-murid sekolah.
“Di sekolah, pelajar hanya biasa dengan sajak, puisi dan pantun, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa penyampaian seni boleh digabungkan dengan alatan muzik tradisional.
“Pendedahan seperti ini membuka minda dan memberi pengalaman baharu kepada mereka,” jelasnya.
Program berkenaan turut mengetengahkan bakat penglipurlara cilik melalui penceritaan sejarah asal-usul nama Kluang, sekali gus menarik minat murid dalam memahami sejarah setempat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor Sarina Taslim.
-RI





