Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perjalanan Jauh Dari Rumah Panjang Bukan Penghalang Sertai KMJG

By 19 Ogos 2025Ogos 24th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Daniel Jong/ Mering Liwen (Sarawak)

KAPIT, 19 Ogos (MalaysiaAktif) – Jarak perjalanan jauh yang perlu ditempuhi sama sekali tidak menghalang penyertaan sembilan Komuniti MADANI (KM) dari seluruh Kapit untuk hadir ke program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di SMK Selirik dekat sini, semalam.

Sembilan komuniti yang menempuh perjalanan untuk semata-mata terlibat sama pada program KMJG tersebut adalah KM Nanga Semulong, KM Nanga Bawai A, KM Batu Bansu, KM Lubok Mawang, KM Sungai Engkatit, KM Nanga Tisa, KM Ulak Tapang, KM Nanga Merama dan KM Teluk Buing.

Ahli-Ahli KM yang mengikuti KMJG di Kapit.

Kesanggupan memulakan perjalanan jauh dari beberapa rumah panjang untuk terlibat memeriahkan program itu memperlihatkan mereka sebagai sukarelawan komuniti yang harus dicontohi dalam menunjukkan semangat patriotisme.

“Kami sanggup datang dari jauh ke SMK Selirik ini untuk mengikuti program KMJG anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan di mana pun kita berada, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara semua pihak harus turut terlibat dengan program seperti ini.

“Kami juga mahu golongan muda melihat semangat itu lestari dalam komuniti kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebanggaan rakyat Malaysia,” kata Mary Jalak, 55, dari KM Lubok Mawang ketika ditemui di lokasi program.

Sementara itu, Monica Bansa, 61, dari KM Nanga Semulong, bersama-sama ahli komuniti lain menghias kenderaan masing-masing dengan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme yang juga melalui tindakan atau usaha berkaitan.

Pelepasan konvoi oleh ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus Wilson Nyabong Ijang pada ucapan perasmiannya menyeru masyarakat sekitar Kapit menonjolkan semangat cinta akan negara dengan memasang bendera di premis dan kediaman mereka.

“Saya juga berharap penduduk setempat menyahut cabaran kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotisme berterusan,” tambah Wilson.

Kehadiran sekitar 600 masyarakat Iban, Melayu dan Cina pada KMJG di Kapit kali ini membuktikan komitmen masyarakat di situ menyemai semangat patriotisme terutamanya di bulan kebangsaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda