
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)/ Jabatan Penerangan
SERDANG, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Menjelang ulang tahun Hari Kebangsaan ke-68 esok, Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad memerdekakan negara daripada penyelewengan dan rasuah menyaksikan kerajaan MADANI berjaya memecahkan kartel puluhan tahun membabitkan barangan keperluan rakyat.

Antara tetamu yang hadir sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam memerangi kartel yang selama ini merosakkan sistem ekonomi negara.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS), di sini, hari ini.
“Kerajaan MADANI telah memecahkan tembok kartel dan kita akan terus memerangi mereka, saya dah panggil badan-badan penguatkuasaan, perangi kartel, perangi kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan sendi negara ini, kita tidak tolak ansur,”katanya.
Mengakui masih banyak perlu diperbaiki, Perdana Menteri menegaskan, usaha kerajaan memerangi segala bentuk kecurangan terhadap negara tidak pernah padam.

Nyanyian lagu “Tanggal 31” dengan penuh semangat mengakhiri Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025.
“Kartel ayam kita pecahkan, sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan semua.
“Apakah sudah sempurna? Tidak, apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” kata beliau.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Kira-kira 4,000 tetamu hadir sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 yang terdiri daripada penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, anggota badan beruniform, usahawan, warga kerja swasta, golongan belia, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah.
-RI





