
Laporan/video: Rahimah Rafiai/Yang Azman
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Walaupun hanya raptai, suasana di Putrajaya sudah terasa bahang kemeriahan, seolah-olah hari kemerdekaan sebenar telah tiba.

Raptai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, Jumaat lepas.
Ribuan rakyat Malaysia, dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang, memenuhi Dataran Putrajaya seawal jam 6.00 pagi bagi menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Orang ramai bersorak dan melambai-lambaikan Jalur Gemilang ketika pelbagai kontinjen perbarisan, dari agensi kerajaan, badan beruniform, dan sektor swasta, melintas di hadapan mereka.
Kanak-kanak kelihatan teruja melihat aset-aset ketenteraan seperti kereta kebal dan kenderaan berperisai yang dipamerkan.

Raptai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan
Para juruterbang dari Angkatan Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut memecah suasana angkasa dengan pelbagai aksi akrobatik pesawat-pesawat tempur membuatkan ramai terpegun, dan ia sekaligus menjadi detik yang paling dinanti-nantikan oleh para pengunjung.
Kehadiran orang ramai yang sangat menggalakkan pada hari raptai ini adalah petanda jelas bahawa semangat cintakan negara masih utuh di hati rakyat Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos nanti pastinya akan lebih meriah dan penuh bermakna.





