Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang Semarakkan Bulan Kebangsaan di ITCC Penampang

By 30 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah (Penampang)

PENAMPANG, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah di International Technology and Commercial Centre (ITCC) Penampang berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan umur yang bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan bulan kebangsaan.

Bagi Maziah Rashidy Ratimin, 29, program sedemikian telah mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanaknya ketika Jalur Gemilang begitu megah dikibarkan di merata tempat.

“Pada pendapat saya program ini sangat baik kerana pada era 90-an dan 2000-an, banyak aktiviti berkaitan Jalur Gemilang. Sekarang sudah berkurang, jadi dengan adanya program ini orang awam yang datang ke pusat beli-belah boleh dapat bendera sendiri,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini pada Khamis.

Maziah (kanan) bersama rakannya yang turut serta dalam Program Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di ITCC, Penampang.

Maziah turut menekankan kepentingan pendedahan awal kepada generasi muda melalui kempen seperti itu.

“Sekarang kita tengok semangat kemerdekaan makin berkurang dah. Dulu masa saya kecil, hinggalah membesar saya tengok kereta banyak bendera. Sekarang ni sudah kurang. Jadi kita perlu perbanyakan kempen seperti ini, sekurangnya budak-budak baru nampak suasana dan mereka membesar dengan suasana tu,” ujarnya.

Baginya, konsep 1 Rumah 1 Jalur Gemilang mampu menyemarakkan lagi suasana sambutan.

“1 Rumah 1 Jalur Gemilang ini lebih baik sebab semua orang boleh kibarkan bendera di rumah masing-masing. Saya harap program ini diteruskan supaya semangat kemerdekaan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Arsyad Shahrul Shahrizam, 8, turut mencuri perhatian apabila dengan penuh yakin menyanyikan lagu patriotik di hadapan orang ramai.

Arsyad mengakui minatnya terhadap lagu-lagu patriotik datang daripada dorongan ibunya sendiri.

“Saya pandai nyanyi lagu-lagu patriotik sebab mama yang ajar. Di rumah pun selalu ikut nyanyi, paling saya suka lagu Faizal Tahir,” kongsinya.

Muhammad Arsyad (baju kuning) ketika mempersembahkan lagu patriotik bersama artis PENTARAMA JAPEN.

Bagi seorang ibu, Norfadilah Fauzi, 35, pendedahan awal kepada lagu-lagu patriotik merupakan cara terbaik memupuk semangat cintakan negara dalam diri anak-anak.

“Kami memperkenalkan dia kepada pelbagai jenis lagu, termasuk lagu patriotik. Tujuannya supaya anak-anak bukan hanya mengenali satu jenis lagu, sebaliknya turut menghayati lagu-lagu patriotik,” jelasnya.

Beliau berkata, program seperti ini memberi peluang kepada anak-anak memahami erti kemerdekaan bukan sekadar melalui pembacaan buku teks, tetapi dengan merasai sendiri suasana perayaan bersama masyarakat.

“Sangat memuaskan dan menyeronokkan kerana kita dapat berkumpul beramai-ramai melaungkan kemerdekaan. Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara, khususnya dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha JAPEN Sabah menggalakkan setiap rumah mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda