
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.5 peratus bagi tahun 2024 berbanding 96.1 peratus tahun sebelumnya.
Lebih membanggakan graduan ijazah sarjana muda PSA merekodkan 100 peratus kebolehpasaran sekali gus memperkukuh keyakinan industri terhadap kualiti lulusan institusi tersebut.

Datuk Moktar menyampaikan sijil kepada Adiba Khairul Izam graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Sesi Akademik 2 2023/2024.
Pengarah Korporat Sumber Manusia Panasonic Appliance Air-Conditioning (M) Sdn. Bhd. Datuk Moktar Mohd Salleh berkata pencapaian itu membuktikan kurikulum yang dibangunkan PSA adalah relevan, diiktiraf serta memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.
Beliau berkata graduan masa kini bukan sahaja perlu menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah diperkasa dengan ciri kepimpinan, integriti serta pembelajaran berterusan bagi membentuk modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
“Pelaksanaan pembelajaran berasaskan pendekatan industry-led seperti Work-Based Learning (WBL) dan Industry on Campus (IOC) terbukti satu langkah realistik serta berpotensi besar dalam melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen PSA kali ke-26 di Dewan Al-Jazari, di sini semalam.
Moktar turut mencadangkan beberapa langkah tambahan bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan, antaranya memperkenalkan Program ‘Talent Pipeline’ dan modul mikro kelayakan berasaskan kemahiran teknikal semasa.
Beliau berkata juga perlu ditingkatkan ialah penglibatan industri dalam penilaian kurikulum, pengukuhan kolaborasi projek dunia sebenar dan program sangkutan industri pensyarah diperluas.

Pengarah PSA Zainah Rujihan ketika menyampaikan ucapannya.
Sementara itu, Pengarah PSA Zainah Rujihan berkata menerusi inisiatif TVET For All dalam Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023–2030, PSA komited menyediakan akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang akademik.
Katanya, PSA turut merancang menubuhkan Institute of Medical Engineering Technology (IMET) sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan perubatan yang menyokong fokus Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terhadap penguasaan teknologi termaju seperti Pembuatan Bahan Tambahan dan Kenderaan Elektrik.
Majlis kali ini menyaksikan 937 graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma serta sijil dalam bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal dan perdagangan.
Sejak penubuhannya pada 1997, PSA telah melahirkan 44,509 graduan dalam pelbagai bidang.
-RI






