Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Raja Muda Kedah Rasmi TOK 2025

By 4 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)

ALOR SETAR, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan berangkat merasmikan Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 yang berlangsung penuh meriah di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin menyifatkan keberangkatan baginda mencerminkan komitmen tinggi dan sokongan padu terhadap pembangunan pelancongan negeri, khususnya dalam memartabatkan warisan budaya tempatan.

Persembahan pelbagai kaum.

“Insya-Allah, sektor pelancongan budaya mampu menjadi pemacu ekonomi negeri yang signifikan, bukan sahaja dalam jangka masa pendek, malah untuk jangka masa panjang.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak terlibat terutamanya JKKN (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) Negeri Kedah, Kumpulan Bangsawan Sri Kedah (KBSK), Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd. atas kejayaan menjayakan temasya ini,” katanya dalam ucapan perasmian.

Tambahnya, TOK 2025 merupakan wadah penting untuk meraikan dan menghargai seni warisan budaya negeri yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Dalam era globalisasi kini, usaha untuk menghidupkan kembali budaya tradisional menjadi semakin mencabar. Namun, minat mendalam terhadap kebudayaan warisan harus terus disemai agar nilai-nilai ini tidak pupus ditelan zaman.

“Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan usaha mengangkat seni budaya tempatan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan budaya, selaras dengan Teras 3 dan Teras 4 Pelan Pembangunan Kedah 2035,” jelasnya.

Turut hadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Datuk Mohd Fauzi Mustaffa, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN Mohd Radzi Omar serta Pengarah JKKN Negeri Kedah Sabarina Masadi.

Pesilat sedang mempersembahkan gerak ‘Jurus Bunga Teratai’.

Menurutnya lagi, Temasya Oghang Kedah 2025 berperanan memperkukuh promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 serta mendokong agenda menjadikan negeri berkenaan sebagai antara destinasi utama Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan negeri mensasarkan kemasukan tujuh juta pelancong sepanjang tahun ini, meningkat 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong pada tahun lalu.

“TMK 2025 memberi tumpuan kepada lima komponen utama iaitu keindahan alam semula jadi, keunikan gastronomi, kekayaan seni, warisan budaya dan sejarah tempatan,” ujarnya.

Menariknya, penganjuran TOK 2025 turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama NB Group Sdn. Bhd. menerusi Fantastic Food Festival by Kak Nab 13.0, yang menampilkan lebih 120 vendor makanan viral serta penyertaan 25 pempengaruh dan TikTokers terkenal.

-RI

Tinggalkan komen anda