
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Penganjuran Sukan Merdeka, di sini semalam berjaya menggalakkan cara hidup sihat dan membantu meningkatkan kecergasan fizikal.

Pertandingan Basikal Lambat kanak-kanak memeriahkan sambutan Sukan Merdeka.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) daerah Pendang Azhar Abd Ghani berkata Sukan Merdeka itu juga diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan penglibatan menyeluruh masyarakat.
“Program ini juga menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Felda Sungai Tiang dengan agensi kerajaan serta usahawan-usahawan kecil tempatan melalui platform riadah yang santai dan mesra masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Pelbagai acara acara sukaneka dan permainan rakyat dipertandingkan dalam acara di Padang Kelab, Felda Sungai Tiang itu seperti bola sepak sembilan sebelah, gusti lengan, lawan bantal dan memanah.

Antara pengunjung yang hadir ke Sukan Merdeka anjuran Majlis Belia Felda Malaysia, Felda Sungai Tiang.
Seorang pengunjung, Mohd Izmal Mohd Kamal, 40, berkata sukan yang paling menarik perhatiannya adalah pertandingan tarik upih dan tarik tali yang berjaya menghidupkan suasana ceria dalam kalangan peserta dan penonton.
“Sudah lama tidak menyaksikan dan bermain acara tarik upih, permainan tradisional yang sangat menyeronokkan serta mampu mengimbau kenangan zaman dahulu,” ujarnya.
Azhar berharap program sebegitu akan diteruskan dan diperluaskan lagi penyertaannya agar lebih ramai golongan belia serta masyarakat setempat dapat turut sama merasai manfaatnya.
-RI





