
Laporan/foto: Noor Aini/UiTM Cawangan Perlis
ARAU, 3 Ogos (MalaysiaAktif) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025 yang melibatkan lebih 100 peserta, termasuk mengiringi, Yang Amat Mulia Waris Kedua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Bantuan Lestari Siswa MADANI turut disampaikan kepada pelajar,
Program anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis pagi semalam itu turut disertai Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim serta Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), baginda turut mengurniakan sumbangan kotak makanan dan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga keluarga dan anak asnaf selain PTPTN juga menyampaikan sumbangan kepada 60 pelajar Maahad Tahfiz Al-Hikmah.
Menurut Datuk Seri Norliza, program turut melibatkan penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI, selain meraikan pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang melibatkan kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis.

Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN2025 melibatkan UiTM Cawangan Perlis.
Tambahnya, penganjuran kali kedua ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk MAIPs, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perlis Volunteer Action Community (PVAC) dan Jabatan Penerangan.
“PTPTN komited membina hubungan strategik dan menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada komuniti,” katanya.
-RI






