Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Lebih 100 Ribu Rakyat Imarah Program Kedah Berselawat 2.0 di Stadium Darul Aman

By 3 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

ALOR SETAR, 3 Ogos (MalaysiaAktif) – Stadium Darul Aman bergema dengan alunan selawat dan laungan zikir apabila lebih 100 ribu rakyat dari seluruh pelosok negeri hadir mengimarahkan Program Kedah Berselawat 2.0 yang berlangsung dengan penuh syahdu dan keberkatan malam kelmarin.

Prof Dr. H. Ustaz Abdul Somad ketika memberi tazkirah semalam di Stadium Darulaman sempena Kedah Berselawat 2.0.

Program mega itu menjadi medan penyatuan umat apabila tiga tokoh pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus, Prof. Dr. H. Ustaz Abdul Somad (UAS) dari Indonesia dan Ustaz Wadi Anuar, berganding menyampaikan tazkirah dan menyemarakkan semangat cinta kepada Rasulullah SAW.

Menurut pengunjung yang ditemui Mohd Tarmizi Khairodin, 39, kehadiran rakyat yang melimpah ruah sehingga memenuhi ruang padang dan tempat duduk stadium membuktikan program keagamaan sebegini sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya dalam memperkukuh nilai-nilai Islam dan perpaduan ummah.

“Ini bukan sekadar satu himpunan biasa, tetapi menjadi lambang kebangkitan rohani rakyat Kedah dalam memperjuangkan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan hidup,” ujar seorang peserta

Acara dimulakan dengan bacaan selawat secara berjemaah, diikuti dengan sesi tazkirah yang menyentuh soal akidah, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dan pentingnya penyatuan ummah dalam menghadapi cabaran zaman moden.

Lebih 100 ribu membanjiri Stadium Darulaman kelmarin.

Prof. Dr. H. Ustaz Abdul Somad dalam tazkirahnya menekankan bahawa selawat bukan hanya ibadah, malah menjadi jambatan spiritual yang menghubungkan umat dengan Rasulullah SAW.

“Ketika umat bersatu berselawat, rahmat Allah akan turun, insya-Allah,” katanya disambut laungan “Allahu Akbar” oleh para jemaah.

Program ini juga menjadi simbol kekuatan dan kebangkitan rohani menjelang Tahun Melawat Kedah 2025, apabila ribuan pelancong domestik turut hadir menyaksikan kemeriahan acara keagamaan terbesar di utara tanah air.

-RI

Tinggalkan komen anda