
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Semangat patriotisme seorang pembuat perabot, Hassri Abdul Kadir tetap utuh biarpun berdepan masalah kesihatan sejak awal Ogos lalu apabila beliau tetap menghiasi kediamannya dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Menurut Hassri, 58, walaupun persiapan kali ini agak terhad, beliau tetap memastikan bendera dikibarkan di perkarangan rumahnya sebagai tanda cintanya kepada tanah air.

Hassri Abdul Kadir mula memasang Jalur Gemilang sejak 2014 dan minat itu semakin berkembang selepas menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan pada 2015.
“Persiapan agak kurang sikit kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Namun, saya tetap menyambutnya dengan memasang bendera.
“Tahun ini saya pasang lebih kurang 150 helai Jalur Gemilang di sekitar rumah, termasuk pada pintu gerbang serta replika Menara Berkembar Petronas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendahara, di sini, baru-baru ini.
Beliau yang mula menghiasi kediamannya dengan bendera sejak 2014 berkata, pada mulanya hanya sekitar 10 helai Jalur Gemilang dipasang sekadar suka-suka.
Namun bermula 2015, minat itu semakin mendalam apabila beliau menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bendahara dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Johor Bahru.
“Sejak itu, saya pasang ratusan bendera setiap tahun. Tujuan saya bukan saja untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan tetapi juga mengajak orang ramai, khususnya golongan belia, turut serta memasang Jalur Gemilang.

Kayu terpakai dimanfaatkan Hassri Abdul Kadir untuk menghasilkan replika dan perabot bagi menghiasi kediaman dengan Jalur Gemilang.
“Malangnya, sambutan daripada mereka masih kurang, mungkin kerana sibuk bekerja atau kurang minat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hassri mencadangkan agar lebih banyak pertandingan keceriaan dianjurkan oleh agensi kerajaan di peringkat kampung serta individu bagi menarik minat masyarakat menyertai program sebegini.
“Saya sendiri bermula kerana pertandingan. Lama-kelamaan ia bertukar menjadi hobi dan minat yang konsisten sehingga ke hari ini,” katanya.
-RI





