
Laporan/foto: Rahman Ishak
PUTRAJAYA, 22 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhasrat menghalang sebarang perhimpunan secara aman yang diadakan di hadapan bangunan Parlimen.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata memang terdapat perbincangan dalam kalangan ahli parlimen dan Jemaah Menteri untuk mewujudkan tempat khusus bagi sesuatu tujuan oleh mana-mana pihak agar suara yang ingin disampaikan dapat dizahirkan dengan lebih teratur, selamat dan tidak menjejaskan kelancaran urusan di Parlimen serta kawasan sekitarnya.
“Walau bagaimanapun, Datuk Seri Anwar menegaskan dan mengambil pendirian bahawa berhimpun di hadapan Parlimen itu tidak harus dihalang.
“Cuma yang diminta (ialah) untuk pastikan aspek laluan itu terkawal supaya tidak berlaku apa-apa kelewatan bagi mereka (termasuk) ahli parlimen yang ingin keluar masuk…dapat diuruskan dengan baik,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata sebelum ini pernah ditetapkan Padang Merbok sebagai kawasan berhimpun untuk menyatakan pandangan sesetengah pihak.
Justeru, Fahmi berkata Anwar telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa meneliti keadaan di padang berkenaan.
“…(termasuk) pagar yang ada di keliling Padang Merbok untuk lakukan beberapa penambahanbaikan supaya orang ramai boleh menggunakan padang tersebut dengan lebih baik,” katanya.
-RI





