
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnani Mohamad
KUALA TERENGGANU, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 43 pengamal media tempatan dari seluruh negara merasai sendiri cabaran penuh risiko, keberanian dan ketahanan fizikal apabila menamatkan latihan intensif selama 36 jam dalam program khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini kelmarin.

Nor Hisham ketika menyampaikan ucapan sempena majlis penutup program.
Program peringkat kebangsaan yang julung kali dianjurkan itu hasil kerjasama Gabungan Kelab Media Malaysia, Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) dan JBPM dengan penyertaan kelab media dari Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Johor, Putrajaya dan Melaka.
Sepanjang dua hari, para peserta didedahkan dengan pengalaman nyata kehidupan anggota bomba termasuk latihan galeri pernafasan (BATG), repelling, simulasi tumpahan minyak, serta latihan air berdepan fenomena kepala air di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata program berkenaan bukan sahaja menguji fizikal dan mental, malah menuntut semangat berpasukan yang tinggi.

Pengamal media mengharungi latihan intensif bersama JBPM, merasai sendiri risiko, keberanian dan ketahanan fizikal yang dituntut dalam dunia penyelamatan.
“Kesungguhan pengamal media ini membanggakan. Saya yakin pengalaman ini akan menjadi nilai tambah dalam kerjaya mereka, terutama ketika melaporkan insiden kecemasan,” katanya sewaktu berucap pada majlis penutup program.
Selain menyingkap realiti tugas barisan hadapan bomba, inisiatif tersebut turut memperkukuh hubungan erat antara media dan agensi penyelamat negara.
-RI





