
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Sejarah Anak Melayu Melaka, Panglima Awang atau dikenali sebagai Enrique de Malacca kini boleh disaksikan buat kali pertama di Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca @ Panglima Awang yang berlangsung di Encore Melaka bermula 23 hingga 30 September ini.

Ketua Menteri Melaka ketika ditemu ramah semalam.
Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Melaka bakal menjadi tumpuan dengan peluncuran pameran insan pertama yang mengelilingi dunia itu.
“Enrique de Malacca, anak tempatan yang terbukti sebagai individu Asia pertama mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16. Antara bahan pameran eksklusif termasuk, Wasiat Ferdinand Magellan (1519) yang mencatatkan nama Enrique sebagai pemuda Melaka di kapal Trinidad dan Daftar Armada Maluku ‘Rol de la Armada Magellan 1519’ yang mengiktiraf Enrique sebagai jurubahasa rasmi Magellan.

Orang ramai dijemput hadir ke Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca @ Panglima Awang.
“Selain itu pameran ini mampu membina kesedaran sejarah, memperkukuh jati diri bangsa serta mengangkat semula kegemilangan Melaka sebagai kuasa maritim hebat abad ke-15,” ketanya ketika ditemui di Encore Melaka, di sini semalam.
Pameran tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan peluncuran Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2026 yang bakal bermula pada 27 September ini.
Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung di Encore Melaka sepanjang minggu ini, antaranya Karnival WTD, Pesta Konda-Kondi Negeri, Karnival Usahawan, Pesta Layang-Layang Antarabangsa dan persembahan formasi 1,000 dron yang bakal menghiasi langit Melaka.
-RI





