Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Anak Desa Harapan Negara, Ilmu Benteng Masa Depan

By 8 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Facebook Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memandang sumbangan golongan muda di desa sangat besar dalam mendepani cabaran serta merealisasikan impian negara pada masa hadapan.

“Anak desa hari ini adalah harapan negara esok.

Ahmad Zahid merakamkan kenangan bersama peserta yang hadir secara bersemuka.

“Ilmu adalah benteng utama dalam menghadapi cabaran semasa. Dengan ilmu, anak muda mampu mengubah nasib diri dan keluarga, seterusnya membina kekuatan bangsa,” katanya ketika berucap pada Program Motivasi Desa@KEMAS dan Program Bakti Madani@KPT di Masjid Tuminah Hamidi, di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan ilmu, disiplin dan cinta pada tanah air, generasi muda desa akan terus mara ke hadapan, memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih makmur dan bermaruah.

Tambahnya, ilmu juga menjadi perisai menangkis gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, bahaya media sosial dan aktiviti berisiko yang boleh meruntuhkan masa depan belia.

Majlis penutup disempurnakan dengan Penyerahan Simbolik Kunci PPRS.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Mohd Hanafiah Man berkata program tersebut bukan sahaja menghimpunkan pelajar secara fizikal, malah turut disertai secara dalam talian oleh anak-anak desa dari seluruh negara.

“Dialog terbuka yang diadakan memberi ruang kepada pelajar untuk melontarkan pandangan dan cita-cita, sekali gus membuktikan semangat generasi desa yang bersatu dalam menggalas amanah bangsa dan tanah air,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyempurnakan penyerahan simbolik kunci Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang melibatkan pembinaan dan baik pulih ribuan rumah di Perak di bawah RMKe-12, dengan peruntukan melebihi RM98 juta serta tambahan RM24.6 juta bagi tahun 2025, sekali gus memberi manfaat kepada puluhan ribu keluarga dan menjadi asas pembentukan masyarakat sejahtera.

-RI

Tinggalkan komen anda