Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Bengkel Pengacaraan Majlis Perkasa Ahli Kelab Malaysiaku

By 8 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 50 orang ahli Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, Pendang telah menyertai Bengkel Pengacaraan Majlis anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pendang, di sini hari ini.

Sesi ice breaking sebelum sesi taklimat bermula.

Bengkel berkenaan diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas dan teknik pengacaraan majlis yang betul serta berkesan seiring usaha memperkasa generasi muda agar lebih yakin, berkarisma dan mampu menjadi pemimpin dalam pelbagai majlis rasmi atau tidak rasmi.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan sesi teori dan praktikal yang merangkumi aspek etika pengacara, intonasi suara, kawalan emosi, bahasa badan serta penggunaan bahasa yang sesuai mengikut majlis.

Salah seorang peserta, Izzat Safwan, 17, melahirkan rasa teruja kerana berpeluang mengikuti bengkel tersebut dan mengakui bahawa beliau lebih yakin untuk mengacarakan sesuatu majlis.

“Teknik dan tips yang diberikan sangat membantu dan mudah dipraktikkan serta dapat meningkatkan keyakinan saya menjadi pengacara untuk sebarang majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah selepas ini,” ujarnya.

Sesi Taklimat Tips dan Teknik Pengacaraan Majlis oleh Noor Azian Saad.

Guru Penyelaras Nur’ Ain Buran yang berpuas hati dengan program tersebut berharap agar ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

Menurut penceramah yang merupakan pengacara majlis tersohor di Jabatan Penerangan Negeri Kedah Noor Azian Saad, kemahiran pengacaraan merupakan satu kelebihan besar bagi generasi muda kerana ia membantu membentuk keyakinan diri, kemahiran komunikasi berkesan serta menambah nilai dalam diri seseorang pelajar.

“Selain mengikuti sesi taklimat dan teori, pada hari ini semua peserta akan menjalani latihan amali bagi memberi peluang kepada peserta mengasah bakat dengan berperanan sebagai pengacara di hadapan rakan-rakan,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda