
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula semalam disambut baik anggota polis apabila mereka mula menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Kumarasan (tengah) menandatangani buku pelawat setelah selesai menyantuni anggota polis yang mengisi minyak di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Kumarasan Muniandy berkata inisiatif itu dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan anggota polis dan tentera, fasa kedua membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala fasa ketiga melibatkan rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan serta lesen memandu sah.
“Anggota polis yang mengisi minyak memaklumkan proses pengesahan melalui aplikasi stesen minyak seperti Setel, Touch ’n Go dan e-dompet lain berjalan lancar serta pantas tanpa sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Stesen Petronas Taman Bukit Indah, di sini semalam.

Kumarasan bersama Ketua Jabatan dan Pengurus Stesen Minyak Petronas, Taman Bukit Indah yang hadir dalam program ini dalam sesi bergambar selepas selesai tinjauan.
Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 memberi manfaat besar kepada rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar, selain mengukuhkan semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan persekutuan atas pemberian ini. Kami di barisan hadapan akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan termasuk BUDI95 demi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini sebagai langkah membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
-RI





