Skip to main content
Berita TempatanJohor

Subsidi RON95 Disasar Tepat, PDRM Ucap Terima Kasih kepada Kerajaan

By 28 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula berkuat kuasa semalam khusus untuk anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Balveer Singh beramah mesra bersama orang awam yang berada di stesen minyak tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata pelaksanaan inisiatif itu adalah langkah tepat kerajaan dalam memastikan subsidi petrol disalurkan kepada golongan sasaran bagi meringankan beban kos sara hidup.

“Bagi pihak PDRM, saya amat berterima kasih dan mengalu-alukan inisiatif BUDI95 yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang memberi keutamaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang serta ketenteraman awam, termasuk tentera.

“Saya percaya ini merupakan satu langkah yang amat menguntungkan, terutamanya ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Anggota Polis IPD Johor Bahru Utara membuat isian petrol subsidi BUDI95 dengan bantuan tunjuk ajar dari petugas stesen.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban bukan sahaja kepada warga PDRM, tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Batu 10, Jalan Skudai, di sini semalam.

Balveer Singh turut mengambil peluang membuat semakan kelayakan dan mengisi minyak kenderaan dengan dibantu oleh petugas stesen berkenaan.

Seramai kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama menerima manfaat subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi BUDI95, berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, susulan pengumuman kerajaan pada 22 September lalu.

-RI

Tinggalkan komen anda