Skip to main content
Rencana & Pendapat

Fenomena Blood Moon Hiasi Langit Langkawi

By 10 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sobri Manan (Langkawi)

LANGKAWI, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Fenomena gerhana bulan penuh yang dikenali sebagai blood moon mencuri perhatian ramai apabila bulan kelihatan kemerahan di langit, termasuk di sekitar kepulauan Langkawi yang terkenal dengan panorama malamnya yang menakjubkan.

Fenomena unik ini bermula sekitar 10 malam kelmarin ketika bulan mula memasuki bayang bumi.

Warna kemerahan semakin jelas kelihatan menjelang tengah malam, sebelum mencapai kemuncak penuh sekitar 2.15 pagi semalam.

Ketika itu, bulan kelihatan seolah-olah berpakaian rona merah pekat yang jarang dapat disaksikan dengan mata kasar sebelum proses gerhana kemudiannya beransur reda menjelang subuh.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat fenomena gerhana bulan penuh secara.

Di Langkawi, orang ramai berkumpul di Dataran Maha bagi menyaksikan fenomena bersejarah itu. Suasana di kawasan berkenaan meriah dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar serta video untuk mengabadikan detik berharga tersebut. Ada yang menggunakan teleskop dan kamera berteknologi tinggi, manakala yang lain hanya duduk santai sambil menikmati keindahan langit malam.

Pusat pemerhatian sementara turut diwujudkan oleh komuniti astronomi tempatan, yang menyediakan teleskop untuk orang ramai melihat bulan lebih dekat. Kejadian ini bukan sahaja menjadi tontonan memukau, malah berfungsi sebagai aktiviti pendidikan awam mengenai sains angkasa.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena blood moon berlaku apabila bumi berada tepat di antara matahari dan bulan, menyebabkan cahaya matahari dibelokkan oleh atmosfera bumi. Hanya spektrum cahaya merah yang sampai ke bulan, menjadikannya kelihatan seperti bersinar dengan rona jingga keemasan hingga merah gelap.

MYSA menjelaskan bahawa fenomena ini tidak membawa sebarang kesan buruk terhadap kesihatan manusia mahupun alam sekitar, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat untuk menghargai keindahan serta kebesaran ciptaan alam semesta.

Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat pergerakan gerhana bulan melalui teleskop yang disediakan oleh My Angkasa

Di samping itu, fenomena berkenaan juga turut memberi nilai tambah kepada pelancongan astronomi di Malaysia, khususnya di Langkawi memandangkan ia menawarkan langit malam yang jernih dan jauh daripada pencemaran cahaya bandar besar sekali gus menjadikan pulau legenda ini destinasi ideal bagi pencinta astronomi.

Ramai pelancong antarabangsa menyatakan keterujaan kerana dapat menyaksikan blood moon di salah satu Geopark Global UNESCO.

Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh ini adalah hasil usahasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MYSA, Maha Tower Langkawi City dan Tourism Malaysia yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati ilmu astronomi, di samping menjadikan fenomena alam semula jadi sebagai produk pelancongan yang bernilai tinggi.

Menurut jurucakap Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), kejadian semula jadi yang jarang berlaku seperti ini secara tidak langsung memperkukuh imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, bukan sahaja bagi sukan laut dan ekopelancongan, tetapi juga bagi pelancongan berasaskan astronomi.

Fenomena blood moon seterusnya dijangka berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun kemunculan semalam pastinya meninggalkan kenangan manis kepada ribuan pemerhati langit di Dataran Maha serta seluruh Malaysia.

-RI

Tinggalkan komen anda