
Laporan/ foto: Norlia Mili/ Lance Dunstan (Sarawak)
KUCHING, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Majlis Penutupan Borneo Games 2025 berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak semalam, sekali gus menandakan berakhirnya temasya sukan serantau lima hari yang menghimpunkan hampir 1,800 peserta merangkumi atlet, jurulatih, pegawai dan sukarelawan dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam serta Kalimantan Timur.
Temasya sukan itu kembali dianjurkan selepas kali terakhir berlangsung di Labuan pada 2013, dan edisi kali ini di Kuching sekali lagi membuktikan keupayaan Sarawak selaku tuan rumah menganjurkan acara sukan, khususnya selepas kejayaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyuarakan rasa syukur dan bangga atas kejayaan penganjuran edisi kali ini yang bukan sahaja memperlihatkan semangat kesukanan tinggi, tetapi juga memperkukuhkan persahabatan dan perpaduan rantau Borneo.

Abdul Karim menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Borneo Games kali ini.
“Tahniah kepada atlet yang berjuang penuh disiplin dan semangat kesukanan, namun kejayaan sebenar tidak diukur melalui bilangan pingat semata-mata tetapi lebih kepada nilai murni yang telah disemai melalui persahabatan, kekeluargaan dan kerjasama erat antara negara dan negeri serantau,” katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Tambahnya lagi, edisi 2025 membuktikan Borneo Games mampu diangkat semula sebagai kejohanan berprestij selepas lama menyepi dan akan diteruskan pada masa depan dengan skala lebih besar.
“Penganjuran ini seiring dengan visi menjadikan Sarawak sebagai hab sukan serantau dan antarabangsa apatah lagi kita memiliki fasiliti bertaraf dunia seperti Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Arena Lawn Bowls yang telah dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kejohanan, secara tidak langsung menjadi landasan penting ke arah persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027,” ujarnya lagi.

Atlet Lelaki Terbaik, Hii Poung Wei (kiri) dan Atlet Wanita Terbaik, Chereen Ngo Yirui (kanan).
Abdul Karim turut menyampaikan penghargaan kepada penganjur, jawatankuasa kerja, sukarelawan, pegawai teknikal dan pihak media yang bertungkus lumus memastikan kelancaran temasya.
“Diharap Sukan Borneo ini akan kekal sebagai acara dwi-tahunan yang bukan sahaja mencungkil bakat belia tetapi juga menjadi jambatan perpaduan masyarakat serantau dengan semangat Sukan Kita, Borneo Kita, Perpaduan Kita,” katanya mengakhiri ucapan.
-RJ-





