
Laporan/ foto : Mohd Subuh Jamali/ Rick Anderson Rini (Sarawak)
SIMUNJAN , 29 Sep (MalaysiaAktif) – Program World Cleanup Day berlangsung dengan jayanya di Padang Central, Simunjan pada Sabtu, lepas dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah dan penduduk setempat.
Program ini bermatlamatkan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar termasuk menggalakkan amalan kitar semula dan pengurangan sisa.
Ketika berucap merasmikan program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris menegaskan aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar memerlukan komitmen semua pihak tanpa mengira lapisan masyarakat.

Simbolik perasmian oleh ADUN Simunjan Awla Dris (tengah).
“Kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata, tetapi juga adalah tanggungjawab bersama kerana melalui program seperti ini, kita dapat menyemai kesedaran dan mendidik masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kebersihan dan kesejahteraan alam sekitar,” katanya.
Antara aktiviti menarik yang diadakan melibatkan Pertandingan Let’s Plogging, iaitu cabaran mengumpul sampah terbanyak dalam tempoh masa tertentu sehinggakan mendapat sambutan hangat daripada golongan belia dan pelajar sekolah yang bersemangat menunjukkan komitmen mereka terhadap kebersihan persekitaran.
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Simunjan muncul juara pertandingan itu setelah berjaya mengutip jumlah sampah terbanyak dan tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No.1, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Simunjan pula meraih tempat ketiga.
Sementara itu, seorang peserta Harithizzuddin Saferi, 20, turut berkongsi pandangan bahawa program sebegini wajar dilaksanakan setiap tahun agar kawasan kediaman dan penempatan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sihat.
“Jika diperhatikan kehadiran dan semangat yang ditujukkan di sini, program ini sememangnya mendapat sokongan padu masyarakat setempat dan lihatlah kehadiran ratusan peserta yang berganding bahu menjayakan agenda kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” katanya lagi.
Penglibatan aktif pelbagai pihak bersama masyarakat serta sokongan daripada kepimpinan peringkan tempatan memperlihatkan sambutan World Cleanup Day di Simunjan berjaya mencapai matlamatnya sebagai wadah menyemai kesedaran hijau yang mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat, dan lestari.
-RJ-





