
Laporan/foto: Florinah Lunsin/Manjin Arak/Borneo Honey Bee Centre (Kudat)
KUDAT, 25 Sep (MalaysiaAktif) –Di Pekan Sikuati, Kudat, terletak sebuah pusat agropelancongan yang semakin mencuri perhatian ramai iaitu Borneo Honey Bee Centre.
Sejak dibuka kepada umum pada April 2017, pusat ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, tetapi juga medan pendidikan dan pemuliharaan alam berasaskan kehidupan lebah madu.
Pengurus Projek Honey Bee Sikuati Kudat, Jonol Majampan berkata pusat ini sebenarnya memainkan peranan besar dalam membantu ekonomi penduduk khasnya di kawasan luar bandar.
“Projek ini membantu penduduk kampung dan kawasan luar bandar menjana pendapatan dengan menjual madu ternakan mereka kepada pusat ini.

Pelancong meneliti produk berasaskan madu yang dihasilkan komuniti setempat di Borneo Honey Bee Centre, Sikuati.
“Selain itu, kami turut menyediakan latihan teknikal dan kursus penternakan lebah madu kepada petani kontrak serta orang awam yang berminat. Ini membolehkan mereka menjalankan penternakan lebah secara berkesan dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui di Borneo Honey Bee Centre di sini, pada Rabu.
Menurutnya, projek petani kontrak yang diperkenalkan sejak 1991 juga menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat melalui industri madu tempatan.
“Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan, industri madu tempatan mampu menjadi salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” jelasnya.
Bagi Jonol, Borneo Honey Bee Centre bukan sekadar ladang lebah, tetapi platform untuk menyeimbangkan pembangunan, pelancongan dan pemuliharaan.

Jonol berkongsi pandangan mengenai peranan pusat itu dalam memajukan agro pelancongan dan industri madu tempatan.
“Borneo Honey Bee Centre berharap dapat berkembang sebagai pusat pelancongan berteraskan alam semula jadi, di samping menjadi pusat pemprosesan madu berdaya saing bertaraf industri.
“Selain itu, kami mahu menjadikan Honey Bee Centre sebagai medium pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan lebah dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Bagi pekerja am, Kelvin Mulihin keistimewaan pusat ini terletak pada aktiviti interaktif yang disediakan kepada pengunjung.

Kelvin memberi penerangan mengenai sarang lebah kepada pengunjung pusat berkenaan.
“Antaranya termasuk lawatan ke kawasan penternakan lebah di mana pelawat dapat mempelajari jenis-jenis lebah, teknik penjagaan serta proses penghasilan madu.
“Pengunjung juga boleh merasa madu segar terus dari sarangnya dan membeli pelbagai produk tempatan berasaskan madu seperti sabun madu, lilin lebah serta produk penjagaan diri yang dihasilkan oleh komuniti setempat,” katanya.
-RJ-





