
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Pusat Perkhidmatan YAB Ahli Parlimen Bagan Datuk
HUTAN MELINTANG, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Penganjuran Kenduri Rakyat sempena bulan kebangsaan bukan sahaja menjadi ruang masyarakat menjamu selera bersama, malah memperkukuh semangat perpaduan dan kecintaan kepada tanah air.

Bagi Mohd Fazly (tengah) Kenduri Rakyat menjadi wadah pembelajaran tidak formal untuk generasi muda memahami erti kebersamaan dan menghargai keamanan.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Khairuddin Tarmizi, berkata program yang menghimpunkan rakyat berbilang kaum dan agama itu memperlihatkan keindahan budaya gotong-royong serta tradisi bermasyarakat yang wajar terus dipelihara.
“Suasana makan beramai-ramai sambil bergotong-royong menyediakan juadah menyuburkan semangat patriotisme, lebih-lebih lagi apabila diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Merdeka dan Kenduri Sekampung anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Sumun 2, di Dewan Parit 1, di sini pagi semalam.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Sungai Sumun 2 Mazlan Ramli, berkata kenduri itu mengeratkan hubungan kejiranan selain mendekatkan rakyat dengan pemimpin setempat.

Memasak secara gotong-royong bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim tetapi mengurangkan kos.
“Penglibatan secara bersama juga membantu mengurangkan kos serta menghidupkan kembali budaya kerjasama yang semakin terhakis,” katanya.
Bagi penduduk kampung Mohd Fazly Mohamad Zawawi, 41, Kenduri Rakyat menjadi wadah pembelajaran tidak formal untuk generasi muda memahami erti kebersamaan dan menghargai keamanan.
“Ia juga saluran terbaik bagi kerajaan menyampaikan mesej serta inisiatif semasa secara lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.
-RI





