
Laporan/ foto : Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 4 Sep (MalaysiaAktif) – DBKU Road Race 3.0, acara perlumbaan berbasikal lebuh raya anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kembali menghangatkan bandar raya ini buat kali ketiga pada pagi Ahad, 7 September 2025.

Rudzaimeir memberi penerangan mengenai DBKU Road Race 3.0 pada sidang media pagi tadi.
Penganjuran kali ketiga ini meneruskan kejayaan dua edisi terdahulu yang mendapat sambutan hangat daripada pelumba tempatan dan antarabangsa.
Pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat DBKU, Bukit Siol pagi tadi, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU Rudzaimeir Malek berkata penganjuran DBKU Road Race 3.0 ini adalah kesinambungan daripada program-program sempena sambutan Hari Bandaraya ke-37 namun tahun ini DBKU hanya memberi tumpuan pada format berpasukan bagi acara lebuh raya sepanjang 126 kilometer sahaja.
“Seramai 130 peserta bakal berentap mewakili 24 pasukan yang terdiri daripada pasukan tempatan, Malaysia, Brunei, Indonesia dan Afrika Selatan yang akan dilepaskan di Tugu Pahlawan dan berakhir di Bukit Siol, Ibu Pejabat DBKU.
“Terdapat lima kategori utama yang dipertandingkan iaitu Juara peringkat Junior, Raja Bukit, Raja Pecut, Juara Individu dan Juara Berpasukan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,650,” ujarnya.

Azhar selaku Pengarah Perlumbaan berharap orang awam peka mengenai jalan yang bakal dilalui pelumba.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Azhar Bujang, menyeru orang awam agar mengunjungi laman Facebook DBKU bagi mengetahui jalan yang akan dilalui serta masa pelumba-pelumba dijangka melalui jalan tersebut.
Selari dengan visi menjadikan Kuching sebuah “Bandaraya Pilihan yang Berdayahuni dan Dinamik”, acara ini juga berperanan mempromosikan Kuching sebagai destinasi sukan berbasikal antarabangsa dan seterusnya mengangkat nama Kuching ke peringkat global.
-RJ-





