Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program HKHM 2025 Bawa Semangat Patriotisme Kepada Komuniti MADANI di Pakan

By 4 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Boniface Watt Su/ Ignatius Golen Sugai (Sarawak)

PAKAN, 4 Sep ( MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang berlangsung semalam di Rumah Rinya, Jagoi Lama, Pakan telah menonjolkan semangat patriotisme termasuk memupuk semangat kekitaan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan komuniti setempat.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pakan dan Komuniti MADANI Rumah Rinya itu bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni turut menekankan perpaduan, keadilan dan kesejahteraan sosial dalam komuniti.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Pakan Thomas Mandang, penganjuran program HKHM adalah antara usaha berterusan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk menyemarakkan semangat cintakan negara membabitkan ahli Komuniti MADANI.

Thomas menekankan perlunya Komuniti MADANI di Pakan menyemarakkan lagi rasa sayangkan negara melalui aktiviti kibar Jalur Gemilang.

“Ahli Komuniti MADANI di Daerah Pakan perlu menyemarakkan lagi rasa sayangkan negara dan disarankan untuk mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyebarkan semangat mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tunjukkan semangat itu dengan perbanyakkan kibaran bendera Malaysia di rumah panjang masing-masing dan kawasan setempat sempena HKHM ini tanpa mengira latar belakang, usia dan generasi bagi menjayakan juga Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) seperti yang disarankan kerajaan,” Thomas berkata demikian semasa merasmikan program tersebut.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Muman Bayang yang juga merupakan ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pakan dalam ucapannya mengingatkan semua pihak yang hadir bahawa Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan, tetapi lambang kedaulatan negara yang wajar dihormati dan golongan muda perlu sentiasa dipupuk untuk menjaga bendera Malaysia dengan baik.

Muman selaku pengerusi Komuniti MADANI Rh Rinya yang juga veteran ATM turut menyampaikan ucapan.

“Rakyat Malaysia harus bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan perlunya untuk semua pihak menjaga keamanan dan keharmonian di negara ini demi mengekalkan apa yang tercapai hasil pengorbangan pejuang terdahulu,” tambah Muman.

Program di Rumah Rinya itu turut disertai ahli Komuniti MADANI Rumah Janang dan Komuniti MADANI Rumah Entengan, sebagai tanda solidariti sesama Komuniti MADANI yang memeriahkan lagi program HKHM Daerah Pakan kali ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda