
Laporan/foto: Azrul Abdullah
ALOR SETAR, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Penduduk Alor Setar menyaksikan fenomena jarang berlaku apabila bulan kelihatan merah, dikenali sebagai gerhana bulan penuh atau Blood Moon, sekitar pukul 2 pagi tadi.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu berlangsung selama lebih lima jam bermula pukul 11.28 malam semalam (7 Sep) sehingga 4.55 pagi tadi waktu Malaysia dengan fasa penuh kemuncak gerhana berlaku pada pukul 2.11 pagi.

Harun cuba mengambil gambar gerhana bulan di hadapan rumahnya.
Gerhana bulan itu dapat dilihat dengan jelas walaupun tanpa penggunaan teleskop, berikutan keadaan langit yang cerah dan bebas daripada liputan awan.
Bulan yang bertukar warna kemerahan jelas menarik perhatian orang ramai yang tidak sabar menunggu walaupun sehingga awal pagi.
Seorang penduduk tempatan, Harun Ibrahim, 36, meluahkan rasa teruja kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan sendiri fenomena bulan merah yang berlaku serentak dengan gerhana bulan.
“Saya hanya keluar ke halaman rumah selepas membaca mengenai fenomena ini di laman Facebook. Memang menakjubkan, bulan kelihatan begitu jelas berwarna merah dan saya dapat lihat dengan mata kasar tanpa sebarang peralatan. Ini pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan,” katanya.
Fenomena Blood Moon berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan, lalu bayang-bayang bumi menutupi bulan sepenuhnya yang menyebabkan bulan kelihatan kemerahan.
Ketika gerhana bulan penuh, bulan akan kelihatan berwarna merah atau jingga disebabkan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi.
Fenomena berkenaan turut dapat disaksikan di seluruh kawasan Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand.
-RI





